IQNA

Syarikat p-hailing hantar makanan halal, tak halal bersama

13:30 - November 24, 2021
Berita ID: 3100453
TEHRAN (IQNA) - Ada syarikat pengendali perkhidmatan seru-pandu (p-hailing) didakwa tidak menjaga sensitiviti umat Islam apabila membawa makanan halal dan tidak halal bersama ketika proses penghantarannya.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata ia susulan aduan dibuat orang ramai berkaitan kejadian dua jenis makanan itu dibawa bersama penghantar makanan baru-baru ini.

Jelasnya, ini menimbulkan rasa tidak puas hati pelanggan terbabit apabila melihat sendiri di dalam beg dibawa penghantar makanan terdapat makanan tidak halal.

"Kami menerima aduan daripada pengguna bahawa ada penghantar makanan syarikat p-hailing tersalah menghantar makanan yang ditempah kepadanya.

"Apabila dibuka makanan itu, pengguna terbabit mendapati makanan berkenaan adalah tidak halal dan mengandungi daging babi yang sepatutnya dihantar kepada pelanggan bukan Islam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, Mohamad Yusrizal meminta Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Agama Islam setiap negeri memantau operasi syarikat p-hailing kerana dilihat semakin kerap melanggar peraturan.

"Ketika ini, jelas ada syarikat p-hailing mengambil mudah isu ini sehingga menyebabkan pengguna Islam berasa ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan.

"Jadi, CAKE menyarankan supaya pihak berkuasa terutamanya Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Agama Islam negeri melihat kembali perkara ini bagi mengelak keraguan umat Islam menggunakan perkhidmatan p-hailing," katanya.

bharian.com

captcha